Site Overlay

YAMAHA TZM150

YAMAHA TZM150

Yamaha TZM 150 merupakan sebuah motorsikal yang pernah menjadi kegilaan ramai pada satu masa dulu. Malahan sehingga kini pun masih ada lagi peminat setia model ini. Aku pun tergolong juga dalam golongan peminat TZM. Apa tidaknya, rekabentuknya cukup cantik dan amat memuaskan hati. Legend tu motor ni. Aku pernah memiliki model ini suatu masa lalu. Jadi, bila teringat kenangan bersama TZM ini, mula terdetik difikiran nak buat sedikit artikel pasal motor ini.

Yamaha TZM 150 mula diperkenalkan di Malaysia oleh Hong Leong Yamaha pada tahun 1994. Ketika itu, aku masih di bangku sekolah lagi. Perlancarannya dibuat di tengah-tengah Selat Melaka. Wah, hebat bukan? Ya, Yamaha TZM dilancarkan di atas kapal mewah, di tengah-tengah Selat Melaka pada 6 September 1994, tepat jam 10:00 malam. Ianya disertai dengan percikan bunga api beserta dengan tepukan gemuruh para tetamu yang dijemput. 

Keluarnya model Yamaha TZM yang berkapasiti 147cc, 2 lejang ini sudah tentu memberi cabaran yang sengit kepada model-model seangkatan dengannya seperti Honda NSR 150 dan juga Kawasaki KIPS 150. Namun begitu, penantian peminat Yamaha selama 2 tahun ternyata tidak sia-sia kerana rekabentuk TZM ini amat menarik sekali. Ianya bercirikan supersport, full fairing dan sekali imbas, ianya seakan-akan kelihatan seperti model Yamaha TZR 250.

Lampu hadapannya dilengkapi dengan mentol H4, untuk memastikan suluhannya cukup terang bila menunggang pada waktu malam. Untuk memastikan selekoh-selekoh dapat diratah dengan rakus, motor ini dilengkapi dengan sepasang tayar jenis tanpa tiub (tubeless), dan merupakan motor pertama kelas 150 yang dilengkapi dengan ciri ini di seluruh Asia. Tayar hadapan didatangi dengan saiz 90/80-17 46S manakala tayar belakang pula adalah 110/80-17 57S. Yamaha TZM 150 ini dilengkapi dengan sistem brek cakera tunggal 298mm untuk hadapan manakala belakang pula dilengkapi dengan cakera tunggal 210mm. Sistem brek ini dilengkapi dengan kaliper dua piston untuk depan dan kaliper satu piston untuk belakang.

 

Enjinnya yang bersesaran 147cc itu, mampu menghamburkan tenaga maksimum 36ps pada 10 500 rpm. Satu angka yang cukup besar. Pengeluaran tenaga seperti ini dibantu oleh sistem YPVS (Yamaha Power Valve System) yang dilengkapi pada enjin TZM ini. Dengan kotak gear 6 kelajuan, Yamaha TZM ini dikatakan boleh memecut sehingga lebih 200kmj dengan berat motor adalah 119kg.

 

Tangki petrolnya dapat memuatkan petrol sehingga 13Liter manakala untuk 2T pula 1.2Liter. Selepas dilancarkan pada tahun 1994, motor ini boleh didapati di pasaran seluruh Malaysia dengan harga RM 9868.88 atas jalan. 

 

Cuma aku sedikit terkilan kerana model ini tiada kesinambungannya. Bagi aku, Yamaha TZM merupakan sebuah motorsikal yang terbaik dalam kelasnya. Andainya pihak Yamaha mengeluarkan model baru untuk menggantikan TZM, sudah pasti masih ramai peminat yang akan menantikan kemunculannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *